Selasa, 11 Mei 2010

Tuduhan Zina

Pada tahun 2003, seorang sahabat meminta pendapat saya berkaitan satu kes yang telah dia putuskan. Kes tersebut ialah kes yang berkaitan dengan pembubaran perkahwinan di bawah Undang-Undang Keluarga Islam. Dia menyatakan kepada saya bahawa plantif bagi kes tersebut ialah seorang lelaki (suami) . Dalam Penyata Tuntutan, si suami menyatakan sebab-sebab tuntutannya ialah si isteri telah melakukan zina dengan sahabat karibnya . Dua minggu sebelum itu saya telah dimaklumkan oleh seorang pegawai penyiasat bahawa ada seorang lelaki membuat aduan yang menyatakan bahawa isterinya telah melakukan zina dan dia mahu isterinya didakwa dan dijatuhkan hukuman hudud. Berdasarkan kertas siasatan yang dikemukankan kepada saya, saya mendapati tiada saksi dapat dikemukakan oleh pengadu untuk diambil rakaman percakapan bagi tujuan penyiasatan. Oleh kerana tiada kesaksian, maka saya mengarahkan kes ditutup dan “Tidak Perlu Siasatan Lanjut(NFA)” . Saya berbuat sedemikian kerana saya telah mempertimbangkan sedalam-dalamnya serta telah memikirkan kesan yang akan ditanggung oleh pengadu sekiranya kes tersebut di bawa ke Mahkamah. Pengadu tidak berpuas hati dengan arahan saya kepada pegawai penyiasat supaya kes tersebut ditutup lalu memohon untuk berjumpa dengan saya untuk mendapatkan penjelasan. Saya benarkan untuk dia bertemu saya untuk menyatakan keterkilanannya atas tindakan saya. Hasil pertemuan itu, rupa-rupanya pengadu seorang pemegang ijazah kedoktoran (Phd) di bidang kejuruteraan aeroAngkasa dari sebuah Universiti terkemuka di United Kingdom dengan tajaan Kerajaan British dan baru sahaja menamatkan pengajiannya. Dia berpuas hati dengan penjelasan saya dan dia mengakui bahawa tiada saksi yang boleh dia kemukakan kerana kes itu adalah hanya dari pengakuan isterinya semata-mata. Saya juga telah memaklumkan kepadanya bahawa Pengawai Penyiasat telah mengambil keterangan isterinya namun isterinya menafikan perbuatan zina itu. Selepas itu beliau meminta pandangan dari saya berkaitan hasratnya untuk menceraikan isterinya. Saya mencadangkan agar dia menfailkan perceraian dibawah seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam secara lafaz talak.Saya juga mengesyorkan kepadanya agar hanya memohon pada mahkamah agar diberi kebenaran melafazkan “talak 1” sahaja. Dia bersetuju dan terus menfaikan kes tersebut di Mahkamah Syariah. Ketika perbicaraan Hakim bertanya kepadanya sebab-sebab dia mahu bercerai di bawah seksyen 47 Enakmen dengan isterinya. Dia mengatakan sebab utama dia mahu bercerai dengan isterinya ialah kerana isterinya sering berzina sepanjang 4 tahun pembelajarannya di UK. Berdasarkan keterangannya, sepanjang pembelajarannya di UK, isterinya tidak pergi bersama tetapi tinggal di Malaysia dan dia telah memberi nafkah diri pada isterinya sebanyak 1,000.0 pound sterling setiap bulan. Hakim bicara terkejut dengan dakwaannya dan berkata padanya “ini satu dakwaan yang berat dan serius, dan kamu telah menuduh isteri kamu berzina”. Dia menyatakan bahawa dia ada bukti isterinya berzina berdasarkan gambar-gambar dan CD yang telah dirakam oleh isterinya. Hakim bertanya kepada si isteri sama ada isteri bersetuju denagn keterangannya. Si isteri pada mulanya hanya mendiamkan diri sahaja. Hakim bertanya sekali lagi, tetapi si isteri tetap mendiamkan diri dan enggan mengakuinya. Hakim telah mengarahkan si suami keluar dari kamar Hakim. Dengan ketiadaan si suami, si isteri mengakui segala tuduhan suami dan mengaku dia telah berzina dengan kawan karib suaminya sepanjang 4 tahun ketiadaan suaminya. Selepas isteri menbuat pengakuan dan hakim berpuas hati dengan pengakuan itu, si suami pun dipanggil masuk semula dan hakim telah meminda Tuntutan Plantif dari seksyen 47 (talak) kepada seksyen 51 (Li’an). Di akhir perbicaraan, hakim telah membuat keputusan bahawa perkahwinan tersebut dibubarkan mengikut seksyen 51 EUUKI iaitu secara li’an. Selepas perintah bertulis di keluarkan oleh mahkamah, si suami mendaftarkan perceraian tersebut di Pejabat Agama dan Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk (NCR) amat terkejut dengan bentuk perceraian tersebut. Pendaftar NCR terus menghubungi saya dan memohon pandangan Undang-Undang. Saya menasihatkan Pendaftar NCR agar mendaftarkan dahulu perceraian tersebut dan dalam masa yang sama saya mengarahkan Pendaftar NCR menfailkan semakan kes ke Mahkamah Tinggi. Sebaik kes di sebut difailkan untuk semakan, hakim bicara pula menghubungi saya untuk memohon pandangan bagi mempertahankan tindakannya. Sebagai seorang sahabat, saya memberikan pendapat saya secara jujur padanya. Saya katakan padanya segala alasan-alasannya sukar untuk dipertahankan oleh mahkamah yang lebih tinggi. Di peringkat Mahkamah Tinggi , Hakim yang mendengar semakan kes telah berpendapat Hakim bicara telah terkhilaf dalam membuat keputusan dan telah membatalkan keputusan Mahkamah Rendah. Akhirnya pasangan tersebut bercerai secara talak dengan satu talak. Saya mempunyai pandangan saya sendiri kenapa mahkamah tidak patut membenarkan pembubaran perkahwinan secara li’an. Ini kerana ramai di kalangan kita tidak menyangka bahawa pembubaran perkahwinan secara li’an adalah pembubaran perkahwinan yang paling berat dan memberikan kesan yang paling teruk. Syarak memandang serius terhadap perbuatan zina, maka dengan sebab itu hukuman bagi kesalahan zina juga adalah amat berat. Oleh kerana hukuman bagi penzina adalah berat maka Syarak juga menetapkan pembuktiannya juga sangat berat dengan berkehendakkan 4 orang saksi lelaki yang adil. Jika sekiranya pengadu gagal mengemukakan saksi maka tuduhannya di anggap seumpama “fitnah” dan pemfitnah itu boleh didakwa kesalahan Qazaf(tuduhan zina) dan akan dikenakan hukuman 80 sebatan. Namun jika sekiranya yang mendakwa atau yang menuduh perempuan itu berzina ialah suaminya, Ulama fiqh telah berpendapat jika si isteri menafikan, si suami hendaklah mengemukakan 4 orang saksi. Jika dia gagal mengemukakan 4 orang saksi lelaki, maka dia hendaklah membuat mula’anah(sumpah laknat) sebanyak 4 kali bagi mengelakkan dia dikenakan Qazaf. Jika dia enggan melakukan mula’anah maka dia hendaklah dikenakan hukuman Qazaf. Selepas si suami bermula’anah, maka mahkamah hendaklah memerintahkan si isteri menjawab mula’anah suaminya dan jika dia ingkar maka dia boleh dijatuhkan had zina. Jika isteri sanggup menjawab mula’anah si suami maka sebaik sahaja si isteri melafazkan sumpah laknat (mula’anahnya), mahkamah hendaklah memisahkan kedua-duanya buat selama-lamanya dan tidak boleh berkahwin sesama mereka buat selama-lamanya. Inilah yang dikatakan sebagai pembubaran perkahwinan secara Li’an. Lihatlah bertapa beratnya penceraian secara Li’an ini dimana berlakunya saling laknat melaknati antara suami dan isteri. Dengan sebab berlakunya “laknat melaknati” di antara suami dan isteri serta sangat mengaibkan perkahwinan, maka syarak meletakkan Li’an sebagai pembubaran perkahwinan yang paling serius dan mempunyai kesan yang sangat besar. Oleh itu saya memberi pesanan kepada pasangan yang mahu bercerai terutama kepada kaum lelaki, berfikirlah secara rasional dan janganlah kita terlalu mengikutkan perasaan amarah. Dan jika sekiranya kita dapat melihat dengan mata kita sendiri pun perlakuan zina itu dan dalam keadaan kita tidak mempunyai saksi yang mecukupi, janganlah kita memilih jalan penyelesaian secara Li’an. Walau pun kita di pihak yang benar, namun gunakanlah kewarasan kita dalam mendidik isteri. Jika kita sudah tidak mampu mendidik mereka, lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya. Ingatlah bahawa, mungkin isteri melakukan sedemikian disebabkan kegagalan kita juga dalam mendidik mereka.




p/s: kadang-kadang saya terfikir juga, kenapa jika si isteri menuduh si suami berzina dan dia gagal mengemukakan 4 orang saksi lelaki, syarak tidak memberikan hak mula’anah kepadanya bagi mengelakkan dia dikenakan had Qazaf. Apakah hikmahnya disebalik ketiadaan mula’anah di pihak isteri.

1 ulasan:

  1. Seronok baca. Cuma saya nak minta pendapat bagaimana suami isteri kedua2nya melakukan zina dan bagaimana pulak proses menuntut cerai?

    BalasPadam