Jumaat, 14 Mei 2010

Akta Halal : Sejauh mana keperluannya ?


Bila bercakap isu Halal, tanda Halal dan Logo Halal, teringat ana tentang satu kisah yang pernah sahabat lama ana ceritakan pada ana satu ketika dahulu; Dua orang sahabat pergi ke selatan Thailand.

Thailand adalah merupakan Negara pesaing kepada Malaysia dalam membuat pensijilan Halal. Ketika berada di selatan Thailand mereka berdua telah melanggan gadis-gadis disana.

Selesai sahaja mereka melanggan gadis-gadis Thailand mereka pergi ke restoran makanan di sekitar hotel yang mereka diami. Ketika tiba di sebuah restoran mereka pun masuk kedalamnya dan terus memanggil pelayan.

Apabila pelayan sampai dan hendak mengambil pesanan, salah seorang dari mereka bertanya kepada pelayan itu sama ada restoran itu halal atau pun tidak. Pelayan itu menjawab mereka tidak menyediakan makanan halal untuk orang-orang muslim.

Kedua-dua sahabat itu pun membatalkan hasrat mereka untuk makan di rostoran tersebut dan seorang darinya berkata kepada pelayan tersebut bahawa mereka tidak akan makan makanan yang tidak mendapat perakuan halal.

Begitulah sensetifnya orang kita terutamanya orang-orang Melayu tentang bab halal haram dalam makanan. Tapi ana hairan kenapa kedua-dua sahabat itu tak tanya pula kepada gadis-gadis Thailand yang mereka langgan itu sama ada gadis-gadis itu diperakui halal atau pun tidak.

Kisah itu hanya mukaddimah sahaja. Isu sebenar yang ana nak bincangkan ialah berkaitan dengan cadangan mewujudkan Akta Halal oleh segelintir dari kita.

Pada 26 februari 2010 yang lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata “Individu, peniaga serta pengusaha yang terbukti menyalahgunakan sijil halal atau mempamerkan sijil halal bukan daripada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh dikenakan tindakan selepas Akta Halal dikuatkuasakan mulai tahun depan”

Kemudia beliau berkata lagi "selepas ini jika terbukti ada pihak yang melanggar akta berkenaan mereka akan dikenakan mengikut peruntukan yang bakal ditetapkan kelak," . lihat sini; http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

Ramai yang bercakap soal keperluan wujudnya satu akta Akta Halal baik dikalangan individu, persatuan NGO mahupun pemimpin-pemimpin politik. Lihat sini; http://www.muslimconsumer.org.my/ppim/news.php?item.802.2

Namun disebalik desakan-desakan itu pernahkah kita terfikir adakah undang-undang sedia ada tidak mencukupi untuk menangani permasalah yang timbul ?. Pernahkah kita mengkaji undang-undang yang telah pun wujud selama ini dan apakah kesan dari pengwujudan akta Halal itu?.

Pada masa ini siapakah yang berhak menentukan sesuatu barangan, makanan atau minuman itu halal?. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)? Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri? Atau sesiapa sahaja pun boleh mendakwa sesuatu produk yang dikeluakan olehnya adalah diperakui Halal?.

Sebahagian besar kita beranggapan pihak yang berkuasa bagi memperakui sesuatu barangan itu halal adalah pihak berkuasa agama kerana ia adalah berkaitan hal ehwal agama. Kalau begitu ana nak katakana begini “ Oleh kerana kita beranggapan ianya berkaitan Agama maka ia dibawah bidang kuasa Negeri. Oleh itu ianya bukanlah kuasa JAKIM”. Maka dalam hal ini JAKIM tiada kuasa untuk menguatkuasakan atau pun memperakui serta mengeluarkan Sijil halal. Itu pandangan ana, betul atau silap, kita sama-sama rujuk Perlembagaan Persekutuan bidang kuasa siapa sebenarnya dalam hal ehwal Agama Islam.

Maka jika Ana katakana kuasa memperakui atau pun mengeluarkan Sijil Halal itu kuasa Negeri, maka Jabatan-Jabatan Agama Negeri pun pakat kata “betullah tu, ini soal hal ehwal agama, ianya dibawah bidang kuasa negeri, kenapa JAKIM pulak yang keluarkan perakuan Halal”. Maka terjadilah pula persoalan undang-undang samada sijil perakuan Halal yang dikeluarkan oleh JAKIM itu sah ke tidak?. Makinlah kita menjadi celaru dengan isu tanda halal ini.

Itulah permasalah kita semua, Kadang-kadang ana nak tegur berkenaan silap faham kita pun tak berani. Takut nanti ada orang kata ana suka sangat menentang apa yang orang lain nak buat.



Macam inilah, ana nak memberikan gambaran kepada individu-individu tertentu, NGOs, dan ahli-ahli politik yang berkaitan tentang undang-undang yang melindungi pengguna yang telah wujud sejak tahun 1972 lagi. Nak tegur pun kena “Bil Hikmah”. Kalau tak ada “Bil Hikmah” nanti kena sumpah seranah.

Penguatkuasaan berhubung perbahasaan “Halal” dilaksanakan di bawah Akta Perihal Dagangan 1972(Akta 87) / Perintah Perihal Dagangan Penggunaan Perbahasaan “Halal”) 1975/ Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Makanan) 1975.

Akta ini memberi perlindungan kepada peniaga/pengguna dari amalan perdagangan yang tidak sihat. Ia merangkumi penggunaan perihal dagangan palsu atau mengelirukan berhubung dengan harga dan barang-barang serta pernyataan palsu yang mengelirukan berhubung dengan perkhidmatan, tempat tinggal dan kemudahan. Perbahasaan “Halal” adalah antara perihal dagangan bagi maksud Akta ini.

Penggunaan perbahasaan “Halal“ “Ditanggung Halal”, “Makanan Islam” atau sebagainya termasuk dalam bentuk logo oleh premis-premis perniagaan tidak diwajibkan di bawah undang-undang yang sedia ada.

Sebab apa ianya tidak diwajibkan, itu sendiri kena fikir. Kalau kita wajibkan semua barangan menggunakan logo halal, ana pun tak boleh nak bayangkanlah apa yang akan terjadi.

Walau bagaimanapun apabila perbahasaan “Halal”/seumpamanya itu digunakan ke atas makanan, ianya hendaklah dimaksudkan bahawa makanan tersebut boleh dimakan oleh orang Islam yakni ianya:-

i) tidak mengandungi apa-apa bahagian atau benda dari binatang yang dilarang oleh Hukum Syarak kepada orang Islam memakannya atau tidak disembelih mengikut Hukum Syarak;

(ii) tidak mengandungi apa-apa benda yang difikirkan sebagai najis mengikut Hukum Syarak;

(iii) tidak disedia, diproses atau dikilang dengan menggunakan apa-apa alat yang tidak bebas daripada sebarang najis mengikut Hukum Syarak; dan

(iv) tidak dalam masa penyediaan, memproses atau menyimpan bersentuhan atau berdekatan dengan sebarang makanan yang tidak memenuhi kehendak para (i) atau (ii) atau (iii) atau apa-apa benda yang difikirkan sebagai najis mengikut Hukum Syarak.

Dengan definisi sedemikian, sesiapa juga boleh mengguna perbahasaan seperti “HALAL” “Ditanggung Halal” “Makanan Islam” asalkan mereka memastikan ia mematuhi perkara-perkara yang digariskan di atas.

Mana-mana orang yang menjual makanan dengan perbahasaan “Halal“ sedangkan ianya berlawanan dengan kehendak-kehendak tersebut adalah melakukan suatu kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 1972, dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM100,000.00 atau dipenjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya bagi individu.

Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda boleh dikenakan sehingga RM200,000.00 atau penjara tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya.

Penalti untuk syarikat atau pertubuhan perbadanan ialah denda sehingga RM250,000.00 bagi kesalahan kali pertama dan kesalahan kedua dendanya ialah RM500,000.00.

Bukankah begitu jelas Akta Perihal Dagangan 1972(Akta 87) melindungi kita sebagai pengguna dari ditipu, diperdaya dan dikelirukan oleh pengeluar produk dan premis-premis perniagaan yang berkaitan isu halal ini. Adakah Akta ini tidak mencukupi ?.

Pada masa ini terdapat tiga kategori perbahasaan halal (termasuk dalam bentuk logo) di pasaran iaitu:

(i) pensijilan halal Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) / Jabatan Agama Islam Negeri-negeri (JAIN);
(ii) pensijilan lalal yang dikeluarkan oleh pihak swasta dan badan-badan Islam; dan
iii) perbahasaan halal yang dikeluarkan sendiri oleh peniaga-peniaga.

Sebenarnya ana masih meragui tujuan sebenar ada dikalangan kita terlalu menginginkan Akta Halal diwujudkan termasuklah memperuntukkan kesalahan-kesalahan di dalamnya.

Cuba kita fikirkan, berapa beratkah hukuman yang mampu kita peruntukkan?.

Berapakah hukuman maksimum yang diberikan kepada Mahkamah Syariah oleh undang-undang sekarang?. Adakah hukuman maksimum denda RM 5,000.00, penjara 3 tahun dan 6 sebatan sedia ada berbaloi dijatuhkan terhadap pesalah berbanding Akta Perihal Dagangan 1972 (Akta 87) yang menetapkan hukuman yang jauh lebih tinggi?.

Cuba kita lihat di Wilayah Persekutuan yang telah memperuntukan hukuman bagi penyalahgunaan tanda Halal di dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariahnya. Sehingga hari ini,berapa ramaikah pengeluar ataupun peniaga yang telah didakwa dibawah kesalahan tersebut?. Sebab apa tiada sebarang pendakwaan dilakukan?.

Cuba kita fikirkan juga, sejauhmana kita boleh mendakwa mereka di Mahkamah Syariah jika seseorang yang melakukan kesalahan sedemikian adalah bukan beragama Islam. Maka akhirnya kita kembali menggunakan akta sedia ada iaitu Akta Perihal Dagangan 1972.

Kita perlu ingat, hampir 95 % syarikat yang memohon pensijilan Halal JAKIM ialah syarikat yang dimiliki oleh orang bukan Islam. Lihat sini; http://www.jphpk.gov.my/Malay/Dis03%2026f.htm

Janganlah nanti Akta Halal itu hanyalah dikatakan sebagai alat kepada JAKIM bagi membolehkan “Matlamat meng”halal”kan cara” nya untuk mendapatkan hasil lalu menyekat orang lain yang mempunyai hak mem”perbahasaan”kan “Halal” produk masing-masing dibawah akta sedia ada.

Kasihanilah peniaga-peniaga kecil muslim yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan perakuan halal jika mereka tidak lagi diberikan hak itu dibawah akta Halal untuk mem”perbahasaan’kan halal terhadap produk yang dikeluarkan oleh mereka sendiri.

Akhir kalam dari ana yang masih dhaif lagi naif ini "Tanda Halal bukanlah menjadikan produk itu halal atau tidak semata-mata oleh sebab makanan itu telah diberikan tanda halal atau tidak, yang, sebaliknya, adalah tidak halal atau halal". Fahamilah apa yang ana katakan itu....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan