Isnin, 17 Mei 2010

Dah habiskah orang dewasa, Kenapa perlu kahwin dengan kanak-kanak ?


Usahlah kita memberi alasan Rasulullah S.A.W. berkahwin dengan Sayyidatina Aishah waktu berusia 9 tahun bagi membolehkan tindakan kita. Ana tidak menafikan perbuatan Rasulullah itu, tetapi ianya bukanlah satu sunnah tetapi hanya satu keharusan dan bukan wajib diikuti.

Perlu kita ingat bahawa pada zaman Rasulullah dahulu ada sistem hamba abadi. Rasulullah tidak memiliki hamba, tetapi Baginda tidak melarangnya. Itu tidak bererti kita pun kena amalkan sistem hamba abdi semata-mata kerana ia wujud dalam zaman Rasulullah. Ini bukan bererti Islam tak sesuai; yang tak sesuai adalah sistem hamba abdi. Islam itu untuk sepanjang masa. Kalau pun zaman dulu orang arab boleh kahwin anak muda, amalan itu sudah tidak sesuai lagi pada zaman ini. Takkanlah ini pun susah untuk difahami?

Kita juga mesti fahami ada perbuatan nabi yang dianggap sunnah dan ada juga perbuatan-perbuatan nabi yang bukan sunnah iaitu kelaziman manusia. Oleh itu, susah sangatkah kita nak faham bahawa ada perbuatan nabi itu merupakan sunnah dan ada yang bukan sunnah. Jika semua perbuatan dan perjalanan nabi itu sunnah maka, mempunyai anak 7 juga adalah sunnah, berkahwin poligami juga sunnah, ada anak lelaki 3 dan 4 anak perempuan juga sunnah. Pening ana dibuatnya, memikirkan pandangan-pandangan yang kurang tepat sebegini dikalangan masyarakat kita.

Yang hairannya perkara sunnah dititik beratkan dan diuar-uarkan, tetapi perkara wajib ditingal-tinggalkan. Nampaknya kita tak boleh nak utamakan antara sunat dan Wajib dan kelihatan seolah-olah perkara sunat itu mengatasi wajib. Sebagai contoh yang nyata, bertapa ramainya masyarakat kita bersembahyang sunat Aidil Fitri(sunat) tetapi meninggalkan terus sembahyang lima waktu(wajib). Aduhai masyarakatku hari ini, bertapa celarunya kita.

Dua kes perkahwinan kanak-kanak perempuan berumur 10 dan 11 tahun dengan lelaki berumur lebih 40 tahun telah sekali lagi menimbulkan persoalan tentang siapakah yang bertanggungjawab menjaga kepentingan agama dan orang Islam di negara kita ini. Dari aspek menyuarakan slogan dan retorik garang, sudah tentu ada. Ramai yang sanggup menggadai nyawa membela Islam. Tetapi apakah mereka ini akan membela nasib anak anak kecil yang dikahwinkan atau mereka hanya memilih isu isu “mudah dan sensasi”

Contohnya, ramai yang rasa tersinggung bila orang Kristian menggunakan kalimah “Allah” dalam akhbar mereka. Tapi yang anehnya, wira-wira ini tak pula kedengaran marah mereka sebelum kes akhbar Herald itu diputuskan oleh Mahkamah Tinggi akhir tahun lalu.Walhal larangan penggunaan kalimah itu dalam majalah tersebut telah dibuat pada tahun 2007. Dengan lain perkataan, sebelum bekas menteri Syed Hamid Albar mengiystiharkan larangan itu, berpuluh-puluh tahun lamanya “Allah” telah digunakan di Sabah dan Sarawak tanpa sesiapa pun naik marah dan tersinggung. Apakah ini bukan hipokrasi?
Sekarang biar kita tunggu siapa yang terasa tersinggung dan marah melihat kes dua anak-anak kecil yang sepatutnya belajar A,B, C dan matematik di sekolah rendah tetapi telah dikahwinkan dengan dua orang “tua” yang berumur lebih 40 tahun.

Sekarang kita tunggu siapa yang akan marah dan akan mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran menentang kes yang melebihi 10,000 kasemuanya (mengikut sumber tertentu) melibatkan kes perkahwinan kanak-kanak di Malaysia. Apakah ia akan terjadi atau besar kemungkinan kita tidak akan mendengar apa-apa rungutan. Malah orang macam ana akan dihentam kerana menimbulkan isu ini, kononnya Islam membenarkan anak-anak kecil dikahwinkan. Jadi tak ada siapa yang patut mempersoalkan perkara ini, kata mereka.

Ana minta maaf. Anak-anak kecil hingusan yang belum tahu ikat tali kasut, yang belum layak tandatangan kontrak, yang belum boleh ada lesen motosikal atau kereta, yang tidak sampai 18 tahun; hanya semata-mata sudah sampai haid, tidak sepatunya dibenarkan berkahwin. Tidak adil dan dikira kejam terhadap anak-anak kecil ini. Mereka ada hak untuk mengalami hidup sebagai kanak-kanak sebaya, bermain, bergembira, berlari ke sana-sini, bersekolah dan banyak lagi yang sepatutnya dinikmati oleh anak-anak kecil. Apabila tiba zaman remaja atau lebih baik bila dewasa nanti, akan timbul naluri semulajadi untuk kahwin. Tidak perlu mengikut tradisi lama.

Begitulah juga tanggungjawab kita kepada masyarakat, nasional dan dunia luar. Selain menjaga keselamatan anak-anak kecil, kita juga telah banyak menandatangani memorandum Konvensyen dan Undang-Undang Antarabangsa yang melarang perkahwinan anak kecil atau “child marriages”. Apa guna kita tandatangani Convention on Elimination Of All Frorms of Discrimination (CEDAW) dan “Convention of the Rights of the Child” dan banyak lagi konvensyen antarabangsa. Ana berharap wira-wira agama, mengambil berat tentang soal kahwin kanak-kanak ini. Kini sekali lagi kita menjadi perhatian serong dunia dan kita perlu bertindak serta merta.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan