Rabu, 19 Mei 2010

Adakah Wanita di Malaysia Di"diskriminasi"kan.....


Merenung sejenak sejarah bangsa Arab era jahiliyah sebelum perutusan Rasulullah S.A.W. ke muka bumi ini, ternyata zahirlah pelbagai kelompangan dan cacamarba yang menunjangi kehidupan mereka pada ketika itu. Arak menjadi minuman wajib sehari-hari, judi, zina, riba, eksploitasi perniagaan dan kekuasaan oleh puak yang lebih berkuasa dan berpengaruh, penindasan terhadap wanita, malah perkara paling kejam iaitu menanam anak perempuan hidup-hidup merupakan kebiasaan yang hanya dipandang sebelah mata tanpa mengundang sebarang rasa untuk membela. Semua akur pada sistem yang mendasari cara hidup mereka pada masa tersebut. Inilah dia sejarah. Bukti yang merakam titik permulaan penindasan atau diskriminasi terhadap wanita.

Apakah itu diskriminasi? Diskriminasi boleh diertikan sebagai layanan tidak adil kepada seseorang atau kelompok berdasarkan prejudis, iaitu sangkaan buruk, sama ada disebabkan oleh perbezaan kelas, bangsa, gender, atau kategori-kategori selainnya. Ruang untuk berlaku diskriminasi mencakupi perlbagai aspek, antaranya ialah perundangan, politik, ekonomi, sosial, pendidikan, agama dan kerjaya.

Melihat kepada situasi semasa yang berlaku pada hari ini, terdapat pelbagai golongan yang sering melaungkan isu kesamarataan hak asasi bagi wanita. Di Malaysia, antara badan atau pertubuhan yang memperjuangkan hak asasi berkaitan wanita adalah seperti Sister In Islam. Munculnya golongan-golongan ini adalah disebabkan mereka beranggapan bahawa hak mereka telah dinafikan atau ditindas oleh pihak yang berkuasa, atau mereka mahu membuka mata Kerajaan terhadap peluang-peluang yang sepatutnya mereka miliki, sebagaimana yang diterima oleh golongan lelaki. Lihat Sister In Islam; http://www.facebook.com/Dwen.puyau?v=app_2347471856&ref=profile#/note.php?note_id=164003292758

Hakikatnya, diskriminasi terhadap wanita timbul kerana ia sudah mendarah daging dalam masyarakat sejak sekian lama, bukan sahaja dalam masyarakat Melayu, tetapi juga dalam masyarakat India, Cina dan bangsa-bangsa lain. Keadaan ini pastinya umpama garam yang sudah larut di dalam air, kerana ia sudah sebati dalam kehidupan bermasyarakat dan akan dianggap janggal sekiranya menyalahi. Sebagai contoh, wanita dianggap lemah dari aspek pemikiran, pendirian dan kekuatan fizikal. Kerana itu, wanita pada zaman dahulu tidak dibenarkan bersekolah tinggi kerana asasnya tetap sama; akan masuk ke ceruk dapur juga. Akibatnya, berlakulah masalah buta huruf dalam kalangan wanita sehingga menyebabkan mereka ketinggalan dalam perkembangan dunia hari ini.

Dalam sesetengah kebudayaan, ibu bapa melakukan keganasan terhadap alat kelamin anak-anak gadis mereka sebagai suatu amalan wajib berlandaskan kepercayaan atau pegangan tertentu. Dalam satu kajian yang dijalankan oleh UNICEF, lebih daripada 130 juta wanita serta anak-anak gadis yang melalui kehidupan mereka kini telah menghadapi salah satu bentuk kecederaan atau kerosakan pada alat kelamin (FGM/C) mereka, dan ini boleh membawa akibat buruk kepada kesihatan, termasuklah kegagalan untuk sembuh sepenuhnya, meningkatkan peluang untuk dijangkiti HIV, masalah-masalah ketika melahirkan anak, penyakit-penyakit jangkitan kelamin dan juga gangguan pada saluran air kencing. Ini merupakan salah satu bentuk diskriminasi terhadap wanita yang didorong oleh faktor kebudayaan atau kepercayaan.

Diskriminasi terhadap wanita yang berleluasa akhirnya menyebabkan muncul golongan yang memperjuangkan hak berasaskan gender yang melampau, seperti Feminisme Liberal, hatta mereka sanggup membidas hukum syarak dan menganggapnya sebagai sekatan terhadap hak-hak wanita. Contohnya, di Malaysia sendiri terdapat golongan seperti ini yang tidak menyetujui perihal pelaksanaan Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia kerana beranggapan ianya tidak memberikan keadilan dan kesaksamaan kepada wanita dari aspek poligami, perceraian, harta sepencarian dan sebagainya lagi. Lihat lagi Sister in Islam; http://www.facebook.com/note.php?note_id=142617957758

Konvensyen berkaitan Penghapusan segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) merupakan undang-undang yang wajar bagi melindungi hak-hak asasi manusia dan kebebasan asas wanita. Perjanjian tersebut telah diangkat oleh Perhimpunan Umum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1979. Ianya berkuatkuasa penggunaannya pada 3 September 1981. Manakala penerimaannya di Malaysia adalah pada pada 5 Julai 1995 dimana terdapat beberapa bahagian isi kandungannya yang di reservasikan kerana didapaiti bercanggah dengan hukum Syarak dan sebahagiannya bercanggah dengan perlembagaan negara kita.


Berdasarkan percanggahan tersebut, Malaysia telah membuat reservasi ke atas lima Artikel iaitu Artikel 2(f), 5(a), 7(b), 9 dan 16. Seterusnya, pada 1998, kerajaan menarik balik reservasi ke atas Artikel 2(f), 9(1), 16(b),(d),(e) dan (h). Dengan penarikan balik reservasi ke atas beberapa artikel tersebut, kini hanya tinggal Artikel 5(a), 7(b), 9(2),16 1(a),(c), (f) dan (g) dan 16 (2) yang masih dikekalkan reservasi ke atasnya. Namun begitu, di peringkat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), mereka masih meneliti dan mengkaji supaya kerajaaan menarik balik reservasi ini.

Artikel 5 yang dikatakan bercanggah dengan perlembagaan negara kita di mana ianya berkaitan dengan hak kewarganegaraan seorang wanita yang berkahwin dengan lelaki asing. Di mana melalui CEDAW ianya menuntut supaya secara automatik wanita tersebut menjadi warganegara suaminya. Namun begitu, menurut perlembagaan persekutuan, seseorang rakyat Malaysia dilarang memegang dua kewarganegaraan. Ini menunjukkan bahawa, seseorang wanita asing yang berkahwin dengan rakyat negara ini tidak boleh menjadi warganegara melainkan dengan permohonan dan dia tidak menjadi warganegara mana-mana selepas itu.

Di dalam artikel 16, ianya adalah di sebabkan bercanggah dengan hukum syarak. Antaranya berkaitan dengan hak samarata di dalam perkahwinan dan sebagainya. Di dalam Islam, ianya berbeza dengan di barat dimana hak perkahwinan dan perceraian itu terletak di tangan suami. Misalnya di Amerika Syarikat, seseorang isteri itu boleh menceraikan suaminya dengan membuat permohonan di mahkamah. Hal ini jelas bercanggah dengan Islam di mana kuasa untuk mentalakkan isteri hanya pada suami.

CEDAW menjelaskan tentang hak-hak khusus yang tidak boleh dibeza-bezakan berdasarkan umur, jantina, kelas ekonomi atau kewarganegaraan. Menerusi CEDAW ini, hak asasi wanita lebih dijamin terpelihara, meskipun terdapat beberapa perkara di dalamnya yang menyalahi dan bertentangan dengan konsep Islam. Antaranya ialah dari sudut falsafahnya yang kebaratan, di mana ia terlalu mengutamakan konsep individualisme, sehingga mengenepikan agama, adat dan kebudayaan.

Namun, terdapat kebaikan-kebaikannya yang boleh dimanfaatkan oleh umat Islam, khususnya wanita Islam sebagai perisai terhadap pencerobohan hak asasi wanita, selagi mana ia tidak bertentangan dengan konsep ajaran Islam. Islam adalah agama universal, di mana ia menerima setiap yang baik untuk diadaptasikan dalam ajaran agama Islam. Antara kandungan yang dipersetujui dalam CEDAW ialah setiap negara yang mengesahkan Konvensyen berkaitan Penghapusan segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) mestilah mengambil langkah untuk mencegah segala bentuk perdagangan wanita dan pelacuran, hak wanita yang saksama dalam menerima peluang pendidikan tanpa diskriminasi jantina atau agama, keadilan dalam bidang pekerjaan dalam aspek penilaian kualiti kerja dan juga penggajian untuk kerja yang sama nilai.

Oleh itu, Konvensyen berkaitan Penghapusan segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) perlulah dinilai dan dilihat secara baik untuk manfaat bersama, bukannya dengan menolak terus prinsip dan dasar di dalamnya. Sesungguhnya Islam tidak pernah mengajar penganutnya untuk berfikiran cetek dan menghukum tanpa usul periksa. Asasnya ialah setiap perkara yang tidak bercanggahan dengan Islam boleh diambil dan diaplikasikan, sementara yang buruk atau bertentangan hendaklah dijauhi dan ditinggalkan. Ia tidak seperti rukun iman; wajib ambil semua, sebaliknya jika ada satu yang ditolak, maka terbatallah imannya

Deklarasi Putrajaya telah diluluskan ketika Persidangan NAM di Putrajaya pada 7-10 Mei 2005 mengenai kemajuan wanita. Deklarasi 50 perkara itu menggariskan bidang khusus yang dibahagikan kepada sembilan isu termasuklah Wanita, Kemiskinan dan Pembangunan Ekonomi; Wanita dalam kuasa dan membuat keputusan; Wanita dan Pendidikan dan lain-lain.

Tetapi rata-rata liputan TV dan akhbar ketika itu lebih mencerminkan darihal diskriminasi terhadap wanita dalam Negara-negara Islam. Kononnya wanita dalam Negara-negara Islam ramai yang terlepas peluang, diletakkan sebagai warga kelas dua, dinafikan pendidikan dan berbagai lagi.

Namun bagi Malaysia perkara ini jika pun berlaku rasanya tidaklah pada tahap yang membimbangkan. Bagi Malaysia sepatutnya isu ini dilihat pada perspektif berbeza, jika benar kita bersungguh mahu membela dan mempertahankan hak wanita.

Hari ini pada pengamatan saya wanita di Malaysia lebih dieksploitasi sebagai bahan promosi untuk melariskan barang dagangan. Ini yang sepatutnya diutarakan oleh perwakilan Malaysia.

Lihatlah dimana-mana sahaja wanita diperkudakan untuk melariskan barangan atau apa sahaja promosi. Tubuh badan wanita diekploitasi untuk merangsang minat kaum Adam. Tidakkah ini satu isu yang membimbangkan para pejuang hak wanita?

Mengapa perlu ada umpamanya jawatan GRO di Malaysia? Tidakkah kerja GRO itu sekadar melayan tetamu lelaki di kelab-kelab malam, pub, karaoke dan seumpamanya. Tidakkah ini menghina martabat wanita, pasti isteri-isteri di rumah pasti tidak sudi suaminya dilayan demikian rupa oleh wanita lain. GRO ini pula sudah semestinya berpakaian seksi, berbadan seksi dan macam-macam lagi, tidakkah ini memperalatkan wanita? Begitu juga dengan kerja social escort.

Demikian juga para promoter barangan, baik kenderaan, syampu, sabun, alat kosmetik, malah barang-barang mewah. Mengapa lazimnya promoter wanitanya dikenakan pakaian seksi? Menjual barangan atau menjual wanita tadi? Tidakkah ini merendahkan martabat wanita?

Ini tak termasuk lagi podium girls semasa acara-cara sukan termasuklah F1. Mengapa wanita seksi yang perlu diperagakan, mengapa tidak diberikan tugas ini kepada kaum lelaki sahaja?

Kesimpulannya bagi saya sesungguhnya wanita di Malaysia telah lama diperalatkan, dieksploitasi untuk kepentingan golongan kapitalis dan kerajaan, namun semacam ada pengiktirafan bahawa perlakuan seumpama ini tidak mengapa kerana ianya menguntungkan semua pihak.

Sepatutnya kehormatan dan harga diri wanita inilah dijuarai oleh wakil Malaysia dan bukannya memperjuangkan gender equality yang lebih merupakan agenda barat yang banyak tidak terpakai pun dirantau sebelah sini. Jangan kita ghairah meniru-niru orang lain sedangkan masalah dalam Negara lebih rumit, dan perlu diperbetulkan terlebih dahulu.

Biarlah wakil Afghanistan, Iraq atau apa sahaja Negara terbabit berjuang memperbetulkan keadaan wanita dalam Negara mereka. Kita di Malaysia sepatutnya berjuang mempertahankan maruah wanita dalam Negara kita dari digadai dan diperagakan untuk kepentingan golongan kecil. Dijadikan bahan pemuas nafsu oleh binatang-binatang yang rakus dan tidak berakhlak.

Apa ertinya persidangan NAM jika wanita di Malaysia terus diperalatkan oleh sesetengah pihak.....

Isnin, 17 Mei 2010

Dah habiskah orang dewasa, Kenapa perlu kahwin dengan kanak-kanak ?


Usahlah kita memberi alasan Rasulullah S.A.W. berkahwin dengan Sayyidatina Aishah waktu berusia 9 tahun bagi membolehkan tindakan kita. Ana tidak menafikan perbuatan Rasulullah itu, tetapi ianya bukanlah satu sunnah tetapi hanya satu keharusan dan bukan wajib diikuti.

Perlu kita ingat bahawa pada zaman Rasulullah dahulu ada sistem hamba abadi. Rasulullah tidak memiliki hamba, tetapi Baginda tidak melarangnya. Itu tidak bererti kita pun kena amalkan sistem hamba abdi semata-mata kerana ia wujud dalam zaman Rasulullah. Ini bukan bererti Islam tak sesuai; yang tak sesuai adalah sistem hamba abdi. Islam itu untuk sepanjang masa. Kalau pun zaman dulu orang arab boleh kahwin anak muda, amalan itu sudah tidak sesuai lagi pada zaman ini. Takkanlah ini pun susah untuk difahami?

Kita juga mesti fahami ada perbuatan nabi yang dianggap sunnah dan ada juga perbuatan-perbuatan nabi yang bukan sunnah iaitu kelaziman manusia. Oleh itu, susah sangatkah kita nak faham bahawa ada perbuatan nabi itu merupakan sunnah dan ada yang bukan sunnah. Jika semua perbuatan dan perjalanan nabi itu sunnah maka, mempunyai anak 7 juga adalah sunnah, berkahwin poligami juga sunnah, ada anak lelaki 3 dan 4 anak perempuan juga sunnah. Pening ana dibuatnya, memikirkan pandangan-pandangan yang kurang tepat sebegini dikalangan masyarakat kita.

Yang hairannya perkara sunnah dititik beratkan dan diuar-uarkan, tetapi perkara wajib ditingal-tinggalkan. Nampaknya kita tak boleh nak utamakan antara sunat dan Wajib dan kelihatan seolah-olah perkara sunat itu mengatasi wajib. Sebagai contoh yang nyata, bertapa ramainya masyarakat kita bersembahyang sunat Aidil Fitri(sunat) tetapi meninggalkan terus sembahyang lima waktu(wajib). Aduhai masyarakatku hari ini, bertapa celarunya kita.

Dua kes perkahwinan kanak-kanak perempuan berumur 10 dan 11 tahun dengan lelaki berumur lebih 40 tahun telah sekali lagi menimbulkan persoalan tentang siapakah yang bertanggungjawab menjaga kepentingan agama dan orang Islam di negara kita ini. Dari aspek menyuarakan slogan dan retorik garang, sudah tentu ada. Ramai yang sanggup menggadai nyawa membela Islam. Tetapi apakah mereka ini akan membela nasib anak anak kecil yang dikahwinkan atau mereka hanya memilih isu isu “mudah dan sensasi”

Contohnya, ramai yang rasa tersinggung bila orang Kristian menggunakan kalimah “Allah” dalam akhbar mereka. Tapi yang anehnya, wira-wira ini tak pula kedengaran marah mereka sebelum kes akhbar Herald itu diputuskan oleh Mahkamah Tinggi akhir tahun lalu.Walhal larangan penggunaan kalimah itu dalam majalah tersebut telah dibuat pada tahun 2007. Dengan lain perkataan, sebelum bekas menteri Syed Hamid Albar mengiystiharkan larangan itu, berpuluh-puluh tahun lamanya “Allah” telah digunakan di Sabah dan Sarawak tanpa sesiapa pun naik marah dan tersinggung. Apakah ini bukan hipokrasi?
Sekarang biar kita tunggu siapa yang terasa tersinggung dan marah melihat kes dua anak-anak kecil yang sepatutnya belajar A,B, C dan matematik di sekolah rendah tetapi telah dikahwinkan dengan dua orang “tua” yang berumur lebih 40 tahun.

Sekarang kita tunggu siapa yang akan marah dan akan mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran menentang kes yang melebihi 10,000 kasemuanya (mengikut sumber tertentu) melibatkan kes perkahwinan kanak-kanak di Malaysia. Apakah ia akan terjadi atau besar kemungkinan kita tidak akan mendengar apa-apa rungutan. Malah orang macam ana akan dihentam kerana menimbulkan isu ini, kononnya Islam membenarkan anak-anak kecil dikahwinkan. Jadi tak ada siapa yang patut mempersoalkan perkara ini, kata mereka.

Ana minta maaf. Anak-anak kecil hingusan yang belum tahu ikat tali kasut, yang belum layak tandatangan kontrak, yang belum boleh ada lesen motosikal atau kereta, yang tidak sampai 18 tahun; hanya semata-mata sudah sampai haid, tidak sepatunya dibenarkan berkahwin. Tidak adil dan dikira kejam terhadap anak-anak kecil ini. Mereka ada hak untuk mengalami hidup sebagai kanak-kanak sebaya, bermain, bergembira, berlari ke sana-sini, bersekolah dan banyak lagi yang sepatutnya dinikmati oleh anak-anak kecil. Apabila tiba zaman remaja atau lebih baik bila dewasa nanti, akan timbul naluri semulajadi untuk kahwin. Tidak perlu mengikut tradisi lama.

Begitulah juga tanggungjawab kita kepada masyarakat, nasional dan dunia luar. Selain menjaga keselamatan anak-anak kecil, kita juga telah banyak menandatangani memorandum Konvensyen dan Undang-Undang Antarabangsa yang melarang perkahwinan anak kecil atau “child marriages”. Apa guna kita tandatangani Convention on Elimination Of All Frorms of Discrimination (CEDAW) dan “Convention of the Rights of the Child” dan banyak lagi konvensyen antarabangsa. Ana berharap wira-wira agama, mengambil berat tentang soal kahwin kanak-kanak ini. Kini sekali lagi kita menjadi perhatian serong dunia dan kita perlu bertindak serta merta.

Jumaat, 14 Mei 2010

Wali Hakim: Wali Ghaib atau Walian yang Ghaib ?


Andaikata kita sering menghadiri perbicaraan kes di mahkamah Syariah pastinya hampir setiap hari kita akan dihidangkan dengan perbicaraan berkaitan “pengesahan perkahwinan” di bawah seksyen 12 mahu pun “pengesahan perkahwinan poligami tanpa kebenaran” dibawah seksyen 23 Enakmen Undang-Undang Kelluarga Islam.

Saya sering berfikir, kenapakah permasalahan sedemikian tidak pernah berkurangan malah semakin hari ianya semakin bertambah. Dimanakah silapnya Undang-Undang Keluarga Islam itu sehingga ianya tidak mampu membendung perlakuan sedemikian.

Sepanjang pemerhatian saya , kes-kes Pengesahan Perkahwinan kebanyakannya berpunca dari keengganan wali menerima calon suami waliannya dan dengan itu waliannya mencari jalan pintas disebabkan terpengaruh dengan pujukan orang-orang tertentu bagi meneruskan hasrat untuk berkahwin.

Bagi kes-kes pengesahan perkahwinan poligami tanpa kebenaran pula, hampir seratus peratus perkahwinan yang dilangsungkan adalah disebabkan ingin menyembunyikan perkahwinan tersebut dari isteri atau pun isteri-isteri sedia ada.

Berdasarkan pengamatan peribadi saya, saya mendapati daripada 10 kes “Pengesahan Nikah”, 9 kes adalah yang membabitkan perkahwinan berpoligami.

Apabila kita menyebutkan tentang “pengesahan perkahwinan” mahu pun “pengesahan perkahwinan poligami tanpa kebenaran” ianya seolah-olah tidak boleh dipisahkan dengan isu “kahwin lari”.

Sering berlaku ibu bapa tidak tahu-menahu langsung tentang tindakan kahwin lari oleh anak-anak mereka. Di sini timbul persoalan sama ada pernikahan yang dilangsungkan dengan menggunakan wali hakim ini, memang disebabkan ketiadaan wali ataupun lari daripada wali. Perkara yang lebih penting adalah penafian bapa sebagai wali itu sama ada munasabah atau tidak.

Kebanyakan dari pasangan wanita yang berkahwin lari sering menggunakan Wali Hakim dalam menyempurnakan rukun nikah mereka. Apabila ditanya apakah sebab mereka berkahwin dengan menggunakan Wali hakim, maka jawapan yang sering diberikan oleh mereka ialah ‘Wali Ghaib”.

Disebabkan wali ghaib maka mereka berpendapat perkahwinan itu hendaklah menggunakan Wali Hakim.

Apabila mereka menjawab sedemikian saya juga sering menyoal kembali kepada mereka, sama ada mereka mengetahui dimana wali mereka berada ketika mereka melangsungkan pernikahan itu dan adakah wali mereka juga tahu mereka berada di mana pada ketika itu ?.

Kebiasaanya, jawapan kembali kepada dua soalan tersebut akan mereka jawab bahawa mereka tahu di mana wali mereka berada tetapi wali mereka yang tidak tahu dimana mereka berada pada ketika itu.

Lantas dengan jawapan mereka itu saya katakan kembali kepada mereka bahawa, “adakah kamu bersetuju jika saya katakan bahawa yang ghaib bukanlah wali kamu, tetapi kamu yang ghaib dari wali kamu kerana kamu mengetahui dimana wali kamu berada tetapi dalam masa yang sama wali kamu tidak tahu kamu berada di mana?.

Soalan sedemikian seolah-olah tiada pilihan jawapan bagi mereka melainkan menjawab “Ya” sahaja. Tidak pernah pula saya mendengar jawapan dari mereka” Tidak”.

Sering juga saya ingatkan pada mereka dengan kata-kata begini “Ingatlah! Di akhirat kelak akan ada sekumpulan manusia yang Allah masukkan mereka ke dalam botol dan lalu Allah campakkan mereka ke dalam api neraka lalu mereka bertanya pada Allah “Wahai Allah! Kenapa kamu mencampakkan kami ke dalam api neraka?. Lalu allah s.w.t. menjawab “Aku tidak pun mencampakkan kamu ke dalam api nerakaku, tetapi aku mencampakkan botol itu ke dalam api neraka. Itulah balasan bagi orang yang terlalu banyak berhelah dalam hukum syarak.

Sebenarnya konsep dua marhalah bagi tujuan pernikahan sebegini hanya sesuai bagi keadaan perkahwinan yang dilangsungkan di luar negara dan tidak memungkinkan bagi pihak-pihak dalam perkahwinan tersebut untuk kembali ke tanah air dalam tempoh tertentu sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 31 Akta Undang-undang Keluarga Islam.

Dalam keadaan ini, sekiranya perkahwinan yang hendak dilangsungkan itu tidak mencapai rukun nikah seperti lazimnya iaitu tidak adanya wali, maka barulah wali hakim akan mengambil tempat wali asal untuk menyempurnakan rukun nikah tersebut.

Namun, jika sekiranya wali yang layak itu ingin mewalikan pernikahan tersebut maka wajarlah wali tersebut “mewakilkan wali” kepada jurunikah yang akan mengakad nikahkan perkahwinan itu.

Wajar untuk diketahui bahawa, pasangan yang hendak berkahwin tetapi kehendak mereka tidak direstui oleh orang tua, dalam keadaan mereka menganggap bahawa perhubungan tersebut tidak ada cacat celanya dari segi Syarak dan adat, undang-undang sebenarnya memberikan ruang yang selesa kepada mereka untuk meneruskan hasrat mulia tersebut.

Walaupun pada dasarnya doa restu orang tua itu sangat penting dan menjadi batu asas sesebuah perkahwinan yang hendak didirikan, akan tetapi garis panduan yang telah diberikan agama itu sebenarnya lebih mengatasi pertimbangan dan kata hati sesiapa.

Melalui pandangan para ulama, soal kufu atau sifat padan pasangan itu sepatutnya menjadi neraca untuk memilih pasangan. Pandangan para ulama bersifat sangat bernas untuk dijadikan sebagai panduan.

Seandainya hubungan tidak direstui disebabkan hal-hal yang remeh-temeh dan ia dibangkitkan oleh ahli keluarga, kahwin lari bukanlah penyelesaian yang bijak kerana Mahkamah Syariah bersedia untuk mendengar permohonan bagi kes seumpama ini.

Sebagaimana yang disebutkan oleh Seksyen 13(b) Enakmen Undang-Undang Keluaraga Islam, sekiranya wali enggan memberikan persetujuan tanpa alasan yang sempurna, Mahkamah akan membenarkan perkahwinan yang diniatkan itu untuk diteruskan dengan menggunakan wali hakim.

Bagi yang kahwin lari disebabkan berpoligami dengan niat menyembunyikannya dari pengetahuan isteri atau isteri-isteri sedia ada, peringatan saya; Adilkah kamu berbuat sedemikian terhadap isteri-isteri kamu sedangkan syarat berpoligami adalah mampu berlaku adil terhadap isteri-isteri?. Sampai bila kamu mahu menyembunyikan perkahwinan ? Adakah sehingga kamu mati dan anak-anak dan isteri-isteri kamu menghentak-hentakkan kaki mereka di atas kubur kamu? Atau sehingga berlakunya anak-anak kamu berkahwin sesama mereka ?. Akhir sekali, kamu fikirkanlah, mungkin kamu menganggap poligami itu sunnah Nabi, Tetapi dimanakah sunnah nabi apabila isteri-isteri baginda saling mengenali sesama mereka dalam diri kamu?. Nampaknya kamu membuat sunnah sendiri dimana “sunnah kamu ” ialah berpoligami dengan menyembunyikan perkahwinan kamu dari isteri atau isteri-isteri yang lain.

Inilah jalan penyelesaian yang sebenar, iaitu membawa masalah ke muka pengadilan. Di sini tidak timbul soal menjadi anak derhaka atau membelakangi orang tua kerana undang-undang mengatasi semua orang dan setiap orang tertakluk kepada undang-undang. Tanpa mengira siapa pun seseorang itu, ia perlu mematuhi undang-undang dan menerima keputusan yang dikeluarkan oleh mahkamah.

Penyelesaian perlu dibuat bagi mengatasi masalah yang tidak kunjung surut ini dan salah satu jalan penyelesaiannya ini adalah dengan menjalankan kajian imperikal mengenai hukum ‘kahwin lari'. Kajian ini kemudian seharusnya dipanjangkan kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dengan melihat semula hukum yang telah dikeluarkan pada Fatwa Kebangsaan Kali ke-52, iaitu pada tahun 2002 yang lalu. Lihat; http://e-fatwa.intranetportal.my/fatwa-kebangsaan/perkahwinan-lari-meninggalkan-wali-lebih-dua-marhalah-mengikut-mazhab-al-syafie

Ingatlah, Islam Itu mudah, tetapi janganlah kita terlalu ambil mudah dalam hal-hal Agama yang akhirnya cara yang kita pilih akan menyebabkan kehendak sebenar Hukum Syarak tidak dipenuhi dan masyarakat menjadi caca merba.

Akta Halal : Sejauh mana keperluannya ?


Bila bercakap isu Halal, tanda Halal dan Logo Halal, teringat ana tentang satu kisah yang pernah sahabat lama ana ceritakan pada ana satu ketika dahulu; Dua orang sahabat pergi ke selatan Thailand.

Thailand adalah merupakan Negara pesaing kepada Malaysia dalam membuat pensijilan Halal. Ketika berada di selatan Thailand mereka berdua telah melanggan gadis-gadis disana.

Selesai sahaja mereka melanggan gadis-gadis Thailand mereka pergi ke restoran makanan di sekitar hotel yang mereka diami. Ketika tiba di sebuah restoran mereka pun masuk kedalamnya dan terus memanggil pelayan.

Apabila pelayan sampai dan hendak mengambil pesanan, salah seorang dari mereka bertanya kepada pelayan itu sama ada restoran itu halal atau pun tidak. Pelayan itu menjawab mereka tidak menyediakan makanan halal untuk orang-orang muslim.

Kedua-dua sahabat itu pun membatalkan hasrat mereka untuk makan di rostoran tersebut dan seorang darinya berkata kepada pelayan tersebut bahawa mereka tidak akan makan makanan yang tidak mendapat perakuan halal.

Begitulah sensetifnya orang kita terutamanya orang-orang Melayu tentang bab halal haram dalam makanan. Tapi ana hairan kenapa kedua-dua sahabat itu tak tanya pula kepada gadis-gadis Thailand yang mereka langgan itu sama ada gadis-gadis itu diperakui halal atau pun tidak.

Kisah itu hanya mukaddimah sahaja. Isu sebenar yang ana nak bincangkan ialah berkaitan dengan cadangan mewujudkan Akta Halal oleh segelintir dari kita.

Pada 26 februari 2010 yang lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata “Individu, peniaga serta pengusaha yang terbukti menyalahgunakan sijil halal atau mempamerkan sijil halal bukan daripada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh dikenakan tindakan selepas Akta Halal dikuatkuasakan mulai tahun depan”

Kemudia beliau berkata lagi "selepas ini jika terbukti ada pihak yang melanggar akta berkenaan mereka akan dikenakan mengikut peruntukan yang bakal ditetapkan kelak," . lihat sini; http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

Ramai yang bercakap soal keperluan wujudnya satu akta Akta Halal baik dikalangan individu, persatuan NGO mahupun pemimpin-pemimpin politik. Lihat sini; http://www.muslimconsumer.org.my/ppim/news.php?item.802.2

Namun disebalik desakan-desakan itu pernahkah kita terfikir adakah undang-undang sedia ada tidak mencukupi untuk menangani permasalah yang timbul ?. Pernahkah kita mengkaji undang-undang yang telah pun wujud selama ini dan apakah kesan dari pengwujudan akta Halal itu?.

Pada masa ini siapakah yang berhak menentukan sesuatu barangan, makanan atau minuman itu halal?. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)? Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri? Atau sesiapa sahaja pun boleh mendakwa sesuatu produk yang dikeluakan olehnya adalah diperakui Halal?.

Sebahagian besar kita beranggapan pihak yang berkuasa bagi memperakui sesuatu barangan itu halal adalah pihak berkuasa agama kerana ia adalah berkaitan hal ehwal agama. Kalau begitu ana nak katakana begini “ Oleh kerana kita beranggapan ianya berkaitan Agama maka ia dibawah bidang kuasa Negeri. Oleh itu ianya bukanlah kuasa JAKIM”. Maka dalam hal ini JAKIM tiada kuasa untuk menguatkuasakan atau pun memperakui serta mengeluarkan Sijil halal. Itu pandangan ana, betul atau silap, kita sama-sama rujuk Perlembagaan Persekutuan bidang kuasa siapa sebenarnya dalam hal ehwal Agama Islam.

Maka jika Ana katakana kuasa memperakui atau pun mengeluarkan Sijil Halal itu kuasa Negeri, maka Jabatan-Jabatan Agama Negeri pun pakat kata “betullah tu, ini soal hal ehwal agama, ianya dibawah bidang kuasa negeri, kenapa JAKIM pulak yang keluarkan perakuan Halal”. Maka terjadilah pula persoalan undang-undang samada sijil perakuan Halal yang dikeluarkan oleh JAKIM itu sah ke tidak?. Makinlah kita menjadi celaru dengan isu tanda halal ini.

Itulah permasalah kita semua, Kadang-kadang ana nak tegur berkenaan silap faham kita pun tak berani. Takut nanti ada orang kata ana suka sangat menentang apa yang orang lain nak buat.



Macam inilah, ana nak memberikan gambaran kepada individu-individu tertentu, NGOs, dan ahli-ahli politik yang berkaitan tentang undang-undang yang melindungi pengguna yang telah wujud sejak tahun 1972 lagi. Nak tegur pun kena “Bil Hikmah”. Kalau tak ada “Bil Hikmah” nanti kena sumpah seranah.

Penguatkuasaan berhubung perbahasaan “Halal” dilaksanakan di bawah Akta Perihal Dagangan 1972(Akta 87) / Perintah Perihal Dagangan Penggunaan Perbahasaan “Halal”) 1975/ Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Makanan) 1975.

Akta ini memberi perlindungan kepada peniaga/pengguna dari amalan perdagangan yang tidak sihat. Ia merangkumi penggunaan perihal dagangan palsu atau mengelirukan berhubung dengan harga dan barang-barang serta pernyataan palsu yang mengelirukan berhubung dengan perkhidmatan, tempat tinggal dan kemudahan. Perbahasaan “Halal” adalah antara perihal dagangan bagi maksud Akta ini.

Penggunaan perbahasaan “Halal“ “Ditanggung Halal”, “Makanan Islam” atau sebagainya termasuk dalam bentuk logo oleh premis-premis perniagaan tidak diwajibkan di bawah undang-undang yang sedia ada.

Sebab apa ianya tidak diwajibkan, itu sendiri kena fikir. Kalau kita wajibkan semua barangan menggunakan logo halal, ana pun tak boleh nak bayangkanlah apa yang akan terjadi.

Walau bagaimanapun apabila perbahasaan “Halal”/seumpamanya itu digunakan ke atas makanan, ianya hendaklah dimaksudkan bahawa makanan tersebut boleh dimakan oleh orang Islam yakni ianya:-

i) tidak mengandungi apa-apa bahagian atau benda dari binatang yang dilarang oleh Hukum Syarak kepada orang Islam memakannya atau tidak disembelih mengikut Hukum Syarak;

(ii) tidak mengandungi apa-apa benda yang difikirkan sebagai najis mengikut Hukum Syarak;

(iii) tidak disedia, diproses atau dikilang dengan menggunakan apa-apa alat yang tidak bebas daripada sebarang najis mengikut Hukum Syarak; dan

(iv) tidak dalam masa penyediaan, memproses atau menyimpan bersentuhan atau berdekatan dengan sebarang makanan yang tidak memenuhi kehendak para (i) atau (ii) atau (iii) atau apa-apa benda yang difikirkan sebagai najis mengikut Hukum Syarak.

Dengan definisi sedemikian, sesiapa juga boleh mengguna perbahasaan seperti “HALAL” “Ditanggung Halal” “Makanan Islam” asalkan mereka memastikan ia mematuhi perkara-perkara yang digariskan di atas.

Mana-mana orang yang menjual makanan dengan perbahasaan “Halal“ sedangkan ianya berlawanan dengan kehendak-kehendak tersebut adalah melakukan suatu kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 1972, dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM100,000.00 atau dipenjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya bagi individu.

Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda boleh dikenakan sehingga RM200,000.00 atau penjara tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya.

Penalti untuk syarikat atau pertubuhan perbadanan ialah denda sehingga RM250,000.00 bagi kesalahan kali pertama dan kesalahan kedua dendanya ialah RM500,000.00.

Bukankah begitu jelas Akta Perihal Dagangan 1972(Akta 87) melindungi kita sebagai pengguna dari ditipu, diperdaya dan dikelirukan oleh pengeluar produk dan premis-premis perniagaan yang berkaitan isu halal ini. Adakah Akta ini tidak mencukupi ?.

Pada masa ini terdapat tiga kategori perbahasaan halal (termasuk dalam bentuk logo) di pasaran iaitu:

(i) pensijilan halal Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) / Jabatan Agama Islam Negeri-negeri (JAIN);
(ii) pensijilan lalal yang dikeluarkan oleh pihak swasta dan badan-badan Islam; dan
iii) perbahasaan halal yang dikeluarkan sendiri oleh peniaga-peniaga.

Sebenarnya ana masih meragui tujuan sebenar ada dikalangan kita terlalu menginginkan Akta Halal diwujudkan termasuklah memperuntukkan kesalahan-kesalahan di dalamnya.

Cuba kita fikirkan, berapa beratkah hukuman yang mampu kita peruntukkan?.

Berapakah hukuman maksimum yang diberikan kepada Mahkamah Syariah oleh undang-undang sekarang?. Adakah hukuman maksimum denda RM 5,000.00, penjara 3 tahun dan 6 sebatan sedia ada berbaloi dijatuhkan terhadap pesalah berbanding Akta Perihal Dagangan 1972 (Akta 87) yang menetapkan hukuman yang jauh lebih tinggi?.

Cuba kita lihat di Wilayah Persekutuan yang telah memperuntukan hukuman bagi penyalahgunaan tanda Halal di dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariahnya. Sehingga hari ini,berapa ramaikah pengeluar ataupun peniaga yang telah didakwa dibawah kesalahan tersebut?. Sebab apa tiada sebarang pendakwaan dilakukan?.

Cuba kita fikirkan juga, sejauhmana kita boleh mendakwa mereka di Mahkamah Syariah jika seseorang yang melakukan kesalahan sedemikian adalah bukan beragama Islam. Maka akhirnya kita kembali menggunakan akta sedia ada iaitu Akta Perihal Dagangan 1972.

Kita perlu ingat, hampir 95 % syarikat yang memohon pensijilan Halal JAKIM ialah syarikat yang dimiliki oleh orang bukan Islam. Lihat sini; http://www.jphpk.gov.my/Malay/Dis03%2026f.htm

Janganlah nanti Akta Halal itu hanyalah dikatakan sebagai alat kepada JAKIM bagi membolehkan “Matlamat meng”halal”kan cara” nya untuk mendapatkan hasil lalu menyekat orang lain yang mempunyai hak mem”perbahasaan”kan “Halal” produk masing-masing dibawah akta sedia ada.

Kasihanilah peniaga-peniaga kecil muslim yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan perakuan halal jika mereka tidak lagi diberikan hak itu dibawah akta Halal untuk mem”perbahasaan’kan halal terhadap produk yang dikeluarkan oleh mereka sendiri.

Akhir kalam dari ana yang masih dhaif lagi naif ini "Tanda Halal bukanlah menjadikan produk itu halal atau tidak semata-mata oleh sebab makanan itu telah diberikan tanda halal atau tidak, yang, sebaliknya, adalah tidak halal atau halal". Fahamilah apa yang ana katakan itu....

Selasa, 11 Mei 2010

Tuduhan Zina

Pada tahun 2003, seorang sahabat meminta pendapat saya berkaitan satu kes yang telah dia putuskan. Kes tersebut ialah kes yang berkaitan dengan pembubaran perkahwinan di bawah Undang-Undang Keluarga Islam. Dia menyatakan kepada saya bahawa plantif bagi kes tersebut ialah seorang lelaki (suami) . Dalam Penyata Tuntutan, si suami menyatakan sebab-sebab tuntutannya ialah si isteri telah melakukan zina dengan sahabat karibnya . Dua minggu sebelum itu saya telah dimaklumkan oleh seorang pegawai penyiasat bahawa ada seorang lelaki membuat aduan yang menyatakan bahawa isterinya telah melakukan zina dan dia mahu isterinya didakwa dan dijatuhkan hukuman hudud. Berdasarkan kertas siasatan yang dikemukankan kepada saya, saya mendapati tiada saksi dapat dikemukakan oleh pengadu untuk diambil rakaman percakapan bagi tujuan penyiasatan. Oleh kerana tiada kesaksian, maka saya mengarahkan kes ditutup dan “Tidak Perlu Siasatan Lanjut(NFA)” . Saya berbuat sedemikian kerana saya telah mempertimbangkan sedalam-dalamnya serta telah memikirkan kesan yang akan ditanggung oleh pengadu sekiranya kes tersebut di bawa ke Mahkamah. Pengadu tidak berpuas hati dengan arahan saya kepada pegawai penyiasat supaya kes tersebut ditutup lalu memohon untuk berjumpa dengan saya untuk mendapatkan penjelasan. Saya benarkan untuk dia bertemu saya untuk menyatakan keterkilanannya atas tindakan saya. Hasil pertemuan itu, rupa-rupanya pengadu seorang pemegang ijazah kedoktoran (Phd) di bidang kejuruteraan aeroAngkasa dari sebuah Universiti terkemuka di United Kingdom dengan tajaan Kerajaan British dan baru sahaja menamatkan pengajiannya. Dia berpuas hati dengan penjelasan saya dan dia mengakui bahawa tiada saksi yang boleh dia kemukakan kerana kes itu adalah hanya dari pengakuan isterinya semata-mata. Saya juga telah memaklumkan kepadanya bahawa Pengawai Penyiasat telah mengambil keterangan isterinya namun isterinya menafikan perbuatan zina itu. Selepas itu beliau meminta pandangan dari saya berkaitan hasratnya untuk menceraikan isterinya. Saya mencadangkan agar dia menfailkan perceraian dibawah seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam secara lafaz talak.Saya juga mengesyorkan kepadanya agar hanya memohon pada mahkamah agar diberi kebenaran melafazkan “talak 1” sahaja. Dia bersetuju dan terus menfaikan kes tersebut di Mahkamah Syariah. Ketika perbicaraan Hakim bertanya kepadanya sebab-sebab dia mahu bercerai di bawah seksyen 47 Enakmen dengan isterinya. Dia mengatakan sebab utama dia mahu bercerai dengan isterinya ialah kerana isterinya sering berzina sepanjang 4 tahun pembelajarannya di UK. Berdasarkan keterangannya, sepanjang pembelajarannya di UK, isterinya tidak pergi bersama tetapi tinggal di Malaysia dan dia telah memberi nafkah diri pada isterinya sebanyak 1,000.0 pound sterling setiap bulan. Hakim bicara terkejut dengan dakwaannya dan berkata padanya “ini satu dakwaan yang berat dan serius, dan kamu telah menuduh isteri kamu berzina”. Dia menyatakan bahawa dia ada bukti isterinya berzina berdasarkan gambar-gambar dan CD yang telah dirakam oleh isterinya. Hakim bertanya kepada si isteri sama ada isteri bersetuju denagn keterangannya. Si isteri pada mulanya hanya mendiamkan diri sahaja. Hakim bertanya sekali lagi, tetapi si isteri tetap mendiamkan diri dan enggan mengakuinya. Hakim telah mengarahkan si suami keluar dari kamar Hakim. Dengan ketiadaan si suami, si isteri mengakui segala tuduhan suami dan mengaku dia telah berzina dengan kawan karib suaminya sepanjang 4 tahun ketiadaan suaminya. Selepas isteri menbuat pengakuan dan hakim berpuas hati dengan pengakuan itu, si suami pun dipanggil masuk semula dan hakim telah meminda Tuntutan Plantif dari seksyen 47 (talak) kepada seksyen 51 (Li’an). Di akhir perbicaraan, hakim telah membuat keputusan bahawa perkahwinan tersebut dibubarkan mengikut seksyen 51 EUUKI iaitu secara li’an. Selepas perintah bertulis di keluarkan oleh mahkamah, si suami mendaftarkan perceraian tersebut di Pejabat Agama dan Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk (NCR) amat terkejut dengan bentuk perceraian tersebut. Pendaftar NCR terus menghubungi saya dan memohon pandangan Undang-Undang. Saya menasihatkan Pendaftar NCR agar mendaftarkan dahulu perceraian tersebut dan dalam masa yang sama saya mengarahkan Pendaftar NCR menfailkan semakan kes ke Mahkamah Tinggi. Sebaik kes di sebut difailkan untuk semakan, hakim bicara pula menghubungi saya untuk memohon pandangan bagi mempertahankan tindakannya. Sebagai seorang sahabat, saya memberikan pendapat saya secara jujur padanya. Saya katakan padanya segala alasan-alasannya sukar untuk dipertahankan oleh mahkamah yang lebih tinggi. Di peringkat Mahkamah Tinggi , Hakim yang mendengar semakan kes telah berpendapat Hakim bicara telah terkhilaf dalam membuat keputusan dan telah membatalkan keputusan Mahkamah Rendah. Akhirnya pasangan tersebut bercerai secara talak dengan satu talak. Saya mempunyai pandangan saya sendiri kenapa mahkamah tidak patut membenarkan pembubaran perkahwinan secara li’an. Ini kerana ramai di kalangan kita tidak menyangka bahawa pembubaran perkahwinan secara li’an adalah pembubaran perkahwinan yang paling berat dan memberikan kesan yang paling teruk. Syarak memandang serius terhadap perbuatan zina, maka dengan sebab itu hukuman bagi kesalahan zina juga adalah amat berat. Oleh kerana hukuman bagi penzina adalah berat maka Syarak juga menetapkan pembuktiannya juga sangat berat dengan berkehendakkan 4 orang saksi lelaki yang adil. Jika sekiranya pengadu gagal mengemukakan saksi maka tuduhannya di anggap seumpama “fitnah” dan pemfitnah itu boleh didakwa kesalahan Qazaf(tuduhan zina) dan akan dikenakan hukuman 80 sebatan. Namun jika sekiranya yang mendakwa atau yang menuduh perempuan itu berzina ialah suaminya, Ulama fiqh telah berpendapat jika si isteri menafikan, si suami hendaklah mengemukakan 4 orang saksi. Jika dia gagal mengemukakan 4 orang saksi lelaki, maka dia hendaklah membuat mula’anah(sumpah laknat) sebanyak 4 kali bagi mengelakkan dia dikenakan Qazaf. Jika dia enggan melakukan mula’anah maka dia hendaklah dikenakan hukuman Qazaf. Selepas si suami bermula’anah, maka mahkamah hendaklah memerintahkan si isteri menjawab mula’anah suaminya dan jika dia ingkar maka dia boleh dijatuhkan had zina. Jika isteri sanggup menjawab mula’anah si suami maka sebaik sahaja si isteri melafazkan sumpah laknat (mula’anahnya), mahkamah hendaklah memisahkan kedua-duanya buat selama-lamanya dan tidak boleh berkahwin sesama mereka buat selama-lamanya. Inilah yang dikatakan sebagai pembubaran perkahwinan secara Li’an. Lihatlah bertapa beratnya penceraian secara Li’an ini dimana berlakunya saling laknat melaknati antara suami dan isteri. Dengan sebab berlakunya “laknat melaknati” di antara suami dan isteri serta sangat mengaibkan perkahwinan, maka syarak meletakkan Li’an sebagai pembubaran perkahwinan yang paling serius dan mempunyai kesan yang sangat besar. Oleh itu saya memberi pesanan kepada pasangan yang mahu bercerai terutama kepada kaum lelaki, berfikirlah secara rasional dan janganlah kita terlalu mengikutkan perasaan amarah. Dan jika sekiranya kita dapat melihat dengan mata kita sendiri pun perlakuan zina itu dan dalam keadaan kita tidak mempunyai saksi yang mecukupi, janganlah kita memilih jalan penyelesaian secara Li’an. Walau pun kita di pihak yang benar, namun gunakanlah kewarasan kita dalam mendidik isteri. Jika kita sudah tidak mampu mendidik mereka, lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya. Ingatlah bahawa, mungkin isteri melakukan sedemikian disebabkan kegagalan kita juga dalam mendidik mereka.




p/s: kadang-kadang saya terfikir juga, kenapa jika si isteri menuduh si suami berzina dan dia gagal mengemukakan 4 orang saksi lelaki, syarak tidak memberikan hak mula’anah kepadanya bagi mengelakkan dia dikenakan had Qazaf. Apakah hikmahnya disebalik ketiadaan mula’anah di pihak isteri.