Rabu, 26 Januari 2011

Perkhidmatan awam: Prinsip berkecuali dalam politik ?.


Pada 20 Februari 2001, seorang Menteri Kabinet membuat kenyataan yang memeranjatkan tentang perkhidmatan awam. Menteri berkenaan mendakwa bahawa perkhidmatan awam tidak boleh berkecuali.
Persepsi saya pada ketika itu ialah; ia sebagai tanda bahawa parti pemerintah benar-benar terdesak dan sanggup berbuat apa sahaja untuk kekal berkuasa; dan oleh kerana tiada reaksi yang keras dari masyarakat, maka saya mengandaikan masyarakat tidak faham kedudukan perkhidmatan awam dalam struktur perlembagaan dan politik.

Tahun lepas, Profesor sains politik di Universiti Monash Sunway, Dr James Chin, dipetik sebagai berkata bahawa antara faktor-faktor yang membantu mengekalkan Barisan Nasional (BN) berkuasa ialah istana, kehakiman dan perkhidmatan awam.

Chin berkata demikian ketika ditanya mengenai senario yang akan berlaku dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang selewat-lewatnya perlu diadakan pada 2013.

Ramai yang beranggapan bahawa melihat kepada perkembangan selepas PRU 12 pada 2008 peluang untuk Pakatan Rakyat (PR) menang dan membentuk kerajaan menggantikan BN di peringkat persekutuan cerah.

Melihat kepada kedudukan pilihan raya kecil yang kebanyakannya menyebelahi Pakatan telahan tersebut memang tidak memeranjatkan.

Apalagi dalam keadaan imej BN jatuh lagi – naik sekejap tatkala Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masuk hari ke 100 memegang jawatan – ekoran isu kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock pertengahan Julai tahun lalu.

Bagaimanapun tidak seperti di negara-negara lain situasi di Malaysia lain. Di sini kita tidak boleh naif dan hanya menilai peluang itu berdasarkan kepada isu-isu itu sahaja.

Ini kerana lapangan permainan tidak rata dan lebih menguntungkan BN. Sebab utama yang membawa kepada keadaan yang tidak adil itu ialah kerana institusi-institusi yang sepatutnya berkecuali dan memihak kepada demokrasi dan keadilan gagal berbuat demikian.

Sebaliknya mereka – yang kelihatan selesa dengan pentadbiran BN – lebih senang untuk memberi kelebihan kepada BN. Sesetengahnya malah terang-terang mengambil tindakan yang kesannya jelas menguntungkan BN dan menyusahkan lawan politik mereka.


SULTAN Azlan Shah dan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menerima menghadap Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang, Hee Yit Foong di Istana Kinta, Ipoh, pada 5 Februari 2009 berikutan tindakannya keluar daripada DAP dan memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN). Baginda turut menerima menghadap tiga lagi ADUN Pakatan Rakyat yang keluar daripada parti masing-masing dan memberi sokongan kepada BN. Terdahulu, Sultan Azlan Shah menerima menghadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak yang juga Pengerusi BN Perak bagi mendapatkan perkenan baginda untuk BN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri- BERNAMA


Chin telah menyebut istana, badan kehakiman dan perkhidmatan awam sebagai faktor-faktor yang membantu Barisan Nasional (BN) kekal berkuasa. Saya hendak menyentuh dengan lebih lanjut mengenai perkhidmatan awam sahaja untuk kali ini.

Perkhidmatan awam merupakan jentera pentadbiran yang ditugaskan melaksanakan dasar kerajaan dan juga untuk memberi nasihat dan pandangan tentang dasar tersebut.

Yang demikian adalah amat mustahak bagi perkhidmatan awam itu bertugas dengan yakin, bebas, adil dan saksama.Keadaan ini tidak akan tercapai jika perkhidmatan awam masuk campur dalam politik.

Saya fikir elok kita bermula dengan mengenal pasti apakah dan siapakah perkhidmatan itu. Perlembagaan tidak menjelaskan istilah ini. Begitu juga dengan Suruhanjaya Reid yang menyediakan draf perlembagaan kita.

Prinsip ini disebut dalam Penyata Mesyuarat Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang diadakan di London dalam bulan Januari dan Februari 1957(untuk kepastian sila rujuk dokumen tersebut pada perkara 40 hingga 43 Penyata Mesyuarat Perlembagaan).

Prinsip yang terkandung dalam penyata ini dipersetujui oleh Jawatankuasa Reid dan diterima oleh Perlembagaan Malaysia. Keadaan berkecuali iaitu tidak berpihak kepada mana-mana parti politik adalah asas perkhidmatan awam Negara ini dan bolehlah dikatakan sebagai satu daripada ciri-ciri Perlembagaan Malaysia.

Ini bererti bahawa pegawai-pegawai dalam perkhidmatan awam adalah tetap berkerja dan memegang jawatan mereka walaupun Perdana Menteri dan menteri-menteri lain terpaksa berhenti dengan sebab kekalahan undi dalam Parlimen atau dalam pilihan raya.

Apa yang perlembagaan sediakan hanyalah peruntukan yang menyenaraikan perkhidmatan yang dipanggilnya perkhidmatan awam. Ini termasuklah angkatan tentera, pasukan polis, perkhidmatan awam persekutuan, guru-guru dan seterusnya.

Jika kita teliti peruntukan-peruntukan lain kita akan berasa lebih jelas apakah yang dikatakan perkhidmatan awam itu. Ini termasuklah peruntukan yang mengeluarkan para hakim, anggota pentadbiran (Perdana Menteri, anggota Kabinet, Menteri Besar dan Ketua Menteri serta anggota pentadbiran mereka) dan Ahli-ahli Parlimen dari kategori perkhidmatan awam.

Kedudukan dan peranan perkhidmatan awam dijelaskan oleh Suruhanjaya Reid dalam laporan mereka. Ini dibuat dalam konteks demokrasi berperlembagaan. Di bawah skema ini perkhidmatan awam dikehendaki berkecuali dan tidak memihak kerana ia diberi peranan menjalankan kerja dan khidmat kepada rakyat.

Perkhidmatan awam juga perlu memberi nasihat dan kepakaran kepada parti yang memerintah. Ini perlu kerana ahli politik tidak mempunyai pengetahuan dan kepakaran tentang pentadbiran yang melibatkan undang-undang, prosedur dan seumpamanya.

Setakat ini peranan itu tidak dilakukan sepenuhnya kerana ada dakwaan bahawa perkhidmatan awam – khususnya yang di bawah bidang kuasa persekutuan – digunakan untuk mensabotaj negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan. Jika ini benar kerajaan persekutuan yang dipimpin oleh BN telah melanggar perlembagaan.

Walau apa pun kebenarannya laporan polis telah dibuat ke atas Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan seorang pegawai polis kerana melakukan jenayah di bawah Kanun Keseksaan.

Pakatan juga mendakwa bahawa Selangor juga menghadapi sabotaj yang sama.Ini semua sebenarnya bukan baru. Kita tahu bahawa negeri Kelantan telah lama menghadapi masalah yang dihadapi oleh Selangor itu.



Tahun lalu Menteri Besar Selangor,Tan Sri Khalid Ibrahim berkata kerajaan persekutuan belum menjelaskan bayaran sebanyak RM300 juta lebih kepada kerajaan negeri.

Kedudukan berkecuali perkhidmatan awam perlu kerana sebenarnya ia adalah pelindung buat rakyat dan pembayar cukai. Kerajaan yang memerintah pada hakikatnya adalah parti politik dan sentimen mereka mungkin berbahaya kepada kedudukan dan kepentingan rakyat. Ini memerlukan sebuah perkhidmatan awam yang berkecuali supaya sentimen kepartian itu dapat dilunturkan.

Sebab itulah saya melihat slogan seperti “Satu lagi projek Barisan Nasional” yang terpampang merata-rata tidak wajar dan menyalahi perlembagaan. Selain kedudukan dan tanggung jawab kerajaan slogan itu juga salah kerana wang disediakan oleh pembayar cukai, bukan BN.




Alhamdulillah, rakyat nampaknya faham dan mereka sudah pun menghukum parti itu dalam beberapa kesempatan. Ini perlu supaya negara ini selamat daripada dijerumuskan ke lembah yang sesat. Slogan itu bermula di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

Saya mengatakan bahawa kakitangan awam tidak perlu setia kepada kerajaan yang memerintah: mereka cuma perlu melaksanakan perintah selagi perintah itu selaras dengan perlembagaan dan undang-undang. Kakitangan awam perlu setia kepada negara, bukan kepada kerajaan. Rukun Negara pun hanya meminta kita setia kepada Raja dan Negara selepas mempercayai Tuhan.

Sebab itu saya berpendapat bahawa akujanji yang dipaksakan oleh pentadbiran Dr Mahathir pada 2000 bertentangan dengan Perlembagaan (unconstitutional).

Kita semua tahu bahawa kebanyakan dasar dan arahan yang dikeluarkan oleh pentadbiran itu berpunca dari kemerosotan sokongan akibat krisis kerana pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sekarang memimpin Pakatan.

Kita harap perkhidmatan awam yang dianggotai oleh lebih satu juta orang – yang gaji dan emolumennya dibayar oleh rakyat – sedar. Perkhidmatan awam perlu balik ke pangkal jalan sebagaimana yang ditetapkan oleh perlembagaan.

Saya akui tidak mudah untuk mereka berbuat demikian. Dalam perkhidmatan awam sendiri sudah timbul budaya negatif yang menyebabkan sikap mengampu Menteri menjadi-jadi.

Tidak ada siapa yang berani bercakap dan berbuat mengikut Perlembagaan dan undang-undang.Kitab mereka ialah wawasan Perdana Menteri dan kerajaan yang ada. Ini tidak salah asalkan ia tidak mengetepikan perlembagaan.

Selain budaya yang negatif tadi pegawai kerajaan jadi amat intim dengan kerajaan yang memerintah kerana mereka terlibat dalam membuat dasar. Pada teorinya dasar itu perlu dibuat oleh orang politik.

Tetapi oleh kerana mereka sibuk berpolitik kerja mereka diambil alih oleh pegawai kerajaan. Itu menyebabkan kakitangan awam jadi emosional dan simpati dengan politik kerajaan.



Keadaan semakin keliru apabila sesebuah parti itu terlalu lama menguasai kerajaan. Ini menyebabkan kesukaran membezakan yang mana parti dan yang mana kerajaan.

Inilah dilema yang berlaku. Dan kebanyakan pegawai kerajaan mengambil jalan selamat dengan menyokong parti yang memerintah.

Sebab itu mereka terpinga-pinga dan marah apabila saya katakan kakitangan tidak perlu setia kepada kerajaan. Apalagi yang sudah menghampiri usia bersara dan berharap kontrak perkhidmatan mereka akan disambung.

p/s: sejak selepas PRU 12, saya sering ditanya menyokong mana?; dan saya selalunya akan menjawab "Saya sentiasa menyokong "Kerajaan".

1 ulasan:

  1. The Casino - Mapyro
    The 밀양 출장샵 Casino - Mapyro users 전주 출장마사지 can compare and chose their location. Mapyro offers 세종특별자치 출장안마 a full spectrum 울산광역 출장샵 of gaming facilities, a wide range of slots and table games, 울산광역 출장마사지

    BalasPadam