Selasa, 8 Jun 2010

Antara Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah - Fikirkanlah


Mungkin kali ini sahabat-sahabat akan bertanya. Apa benda pula yang ana nak “ngomelkan” dalam blog ana kali ini. Ana nak ajak teman-teman dan sahabat handai ana untuk memikirkan sesuatu yang patut kita ubah agar keadaan sebegini tidak akan terus berterusan.


Sebagai permulaan, Ana sering tertanya-tanya, bilakah ana akan belajar parkara Fardhu Ain secara mendalam. Semenjak kecil ana hanya di ajar Kursus al-Quran dan Fardhu Ain melalui sistem pelajaran yang formal yang hanya diajarkan perkara asas sahaja. Apabila memasuki sekolah menengah pun masih mempelajari asas-asas fardhu ain lagi Cuma ditambah dalam bab Haji. Ana terfikir, bilakah ana akan belajar perkara-perkara yang bukan asas dalam fardhu ain.
Adakah fardhu ain itu tidak penting sehinggakan kita hanya mempelajari asas-asasnya sahaja ?. Apabila melangkahkan kaki ke IPTA, kita sudah tidak lagi mempelajari perkara-perkara fardhu ain atas anggapan ilmu fardhu ain yang dibekalkan sudah pun mencukupi. Saya sering berfikir, adakah ilmu dalam perkara-perkara fardhu ain yang saya miliki sudah mencukupi ?.
Satu ketika, Ana pernah ditanya oleh sekumpulan guru agama dari sebuah Sekolah Menengah Agama berkaitan dengan satu persoalan Fardhu Ain. Soalannya begini; Bolehkah menyamak kulit binatang dengan menggunakan najis burung merpati kerana ianya najis?. Ana tersenyum dengan soalan yang dikemukakan oleh mereka. Dalam fikiran ana, agak mustahil jika mereka tidak mengetahui hukum sedemikian itu sedangkan ianya juga adalah fardhu ain.
Adakah guru-guru agama kita juga hanya mempelajari asas-asas fardhu ain seperti kita juga seperti mana di sekolah dan tidak mempelajarinya secara mendalam apabila masuk ke IPTA?. Apakah yang mereka pelajari di IPTA ketika mengambil Ijazah dalam Syariah, Usuluddin, mahu pun Pengajian Islam(Dirasat Islami)?. Muamalat, Munakahat, atau Jinayat ?. Kalau begitu, nampaknya kita menganggap pengajian kita dalam fardhu ain sudah pun mencukupi, sedangkan dalam pengetahuan ana, apa yang kita pelajari di sekolah hanyalah asas-asas fardhu ain sahaja.
Pada Ana juga, dalam waktu yang sama kita mempelajari Fardhu kifayah sangat mendalam. Dengan sebab itu ramai dikalangan kita mampu menjawab persoalan Fardhu kifayah dengan jelas dan terperinci, tetapi bila ditanyakan persoalan fardhu ain keadaan kita adalah sebaliknya. Belajar undang-undang itu fardhu kifayah, politik pun fardhu kifayah, begitu juga ilmu-ilmu yang lain seperti kaunseling, ekonomi, perakaunan, kejuruteraan, perubatan dan sebagainya.
Bukan Ana nak kata ilmu-ilmu fardhu kifayah itu tidak penting. Pada ana antara fardhu ain dan fardhu kifayah itu sama penting atas alasan kedua-duanya adalah satu ‘Kefardhuan” . Ana percaya, jika ditanya apa erti fardhu ain dan fardhu kifayah, kebanyakan dikalangan kita pasti mampu menjawabnya mengikut pengertian klasik yang di ajar kepada kita sejak kecil hingga sekarang iaitu: Fardhu ain “satu kewajipan ke atas semua orang untuk mengerjakannya, manakala fardhu kifayah “seorang buat, yang lain tak payah”.

Cuba kita fikirkan, adakah kita terlalu mementingkan ilmu-ilmu fardhu kifayah sehingga kita lupa bahawa ilmu fardhu ain kita sebenarnya tidaklah seberapa sehinggakan hendak mengajar anak-anak kita dalam perkara fardhu ain pun kita tak mampu.Apa sebenarnya yang kita kejar di dunia ini? Kebahagian dunia atau akhirat atau kedua-duanya?. Takkanlah ketika berusia 58





tahun baru kita nak sedar bahawa kita ini masih banyak kekurangan dalam ilmu fardhu ain. Itu pun jika umur kita dipanjang ke tahap itu. Ketika itu barulah kita bersungguh-sungguh untuk belajar sebab nikmat dunia sudah kita perolehi selama 58 tahun. Ayat lembutnya, mungkin ketika itu baru kita terfikir bahawa kita sudah tidak lama lagi di dunia dan perlu beribadat dengan betul dengan mempelajari fardhu Ain bersungguh-sungguh.Ingatlah, kematian itu tidak mengenal usia, pangkat, keilmuan dan sebagainya. Kita menuntut ilmu bukan untuk bekalan didalam kubur, tetapi untuk beramal di atas dunia ini dengan ilmu kita. Oleh itu, berfikirlah, adakah kita mahu mempelajari fardhu ain ketika dihujung usia (sisa-sisa hidup) yang hanya sempat digunakan hanya beberapa ketika sahaja atau kita mulakan untuk mempelajarinya secara mendalam mulai saat ini. Tepuklah dada, tanyalah diri masing-masing.




“Berfikirlah setiap masa, Mengkeritik tidak bererti kita menentang, Menegur pula tidaklah bererti membenci dan berbeza pendapat adalah kawan untuk berfikir yang baik.”

1 ulasan:

  1. Benar sekali. Saya pun sedang mendalami ilmu fardhu ain kerana byk perkara remeh dalam kehidupan seharian terlalu saya ambil ringan sedangkan ia melibatkan hal kebersihan, sah/batal solat dan sbgnya. Handphone pun kita upgrade softwarenya...

    BalasPadam