Selasa, 3 Ogos 2010

PENERANGAN TENTANG AKTA KEGANASAN RUMAH TANGGA 1994


Apakah keganasan rumah tangga?

Keganasan rumah tangga adalah keganasan yang dilakukan ke atas anda oleh ahli keluarga anda sendiri. Keganasan ini termasuklah menampar, menendang, mencekik, menghantuk kepala anda ke dinding, mengadakan hubungan seks secara paksa atau menyebabkan anda hilang harga diri, bodoh dan merasa tidak berguna.

Keganasan rumah tangga adalah perkara biasa. Selalunya dilakukan oleh lelaki ke atas wanita dan kanak-kanak, tetapi ia juga boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Orang yang melakukan keganasan ini cuba menguasai mangsanya. Tidak ada sesiapa pun harus dianiayai. Keganasan rumah tangga adalah salah.


Apakah Akta Keganasan Rumah Tangga?

Akta Keganasan Rumah Tangga diluluskan pada tahun 1994. Akta Keganasan Rumah Tangga mengenal-pasti keganasan yang berlaku dalam sebuah rumah tangga sebagai masalah sosial yang serius dan mesti ditangani. Keganasan rumah tangga bukan satu masalah peribadi keluarga.

Akta Keganasan Rumah Tangga melindungi ahli keluarga terdekat, termasuklah isteri atau suami, bekas isteri atau suami, kanak-kanak (termasuk anak angkat), orang-orang dewasa yang tak berkeupayaan (samada mental ataupun fizikal), dan mana-mana anggota keluarga yang lain. Akta Keganasan Rumah Tangga melindungi semua orang, termasuk juga yang berugama Islam.


Apakah jenis-jenis keganasan yang dilindungi oleh Akta Keganasan Rumah Tangga?

Walaupun keganasan rumah tangga berlaku dalam berbagai bentuk, undang-undang hanya mengiktirafkan keganasan seperti yang berikut: keganasan yang menyebabkan kecederaan fizikal, meletakkan anda dalam keadaan ketakutan kecederaan fizikal, mengurung anda, merosakkan harta benda dengan niat menggusarkan anda, atau memaksa anda melakukan sesuatu yang anda berhak tidak melakukannya.





Bagaimana Akta Keganasan Rumah Tangga boleh menolong anda?

Anda boleh membuat aduan keganasan rumah tangga. Jika anda tidak lagi merasa selamat di rumah, anda dan anak boleh mendapatkan perlindungan di mana-mana tempat yang sesuai samada yang disediakan oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan(NGO) atau pun mana-mana “tempat selamat” dibawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Jika anda perlu mengambil barang-barang anda, pegawai kebajikan masyarakat ataupun pegawai polis boleh menemani anda balik ke rumah. Anda boleh juga mendapatkan bantuan mahkamah.

Mahkamah akan mengeluarkan Perintah Perlindungan Sementara (Interim Protection Order - IPO) bagi melindungi anda dari keganasan seterusnya.

Jika anda sedang menjaga seorang mangsa keganasan (umpamanya kanak-kanak, ataupun orang-orang yang tak berkeupayaan), anda boleh memohon IPO untuk mereka. Sekiranya pesalah melanggar IPO ini ia boleh dihukum oleh Mahkamah.


Bagaimana anda boleh mendapatkan Perintah Perlindungan Sementara (IPO)?

Bantuan rawatan perubatan Jika anda tercedera, pergi ke Jabatan Kecemasan dan Kemalangan hospital kerajaan yang berhampiran. Dapatkan nombor laporan perubatan anda.

Bantuan Polis; Laporkan keganasan rumah tangga di balai polis. Pastikan anda mendapatkan nombor laporan anda, sebaik-baiknya cubalah dapatkan salinan karbon pada ketika itu juga. Anda mesti ingat di balai manakah anda pergi. Beritahu anggota polis yang anda perlukan IPO. Pihak polis akan merujuk anda kepada seorang pegawai siasatan (I.O.) untuk menyiasat kes anda. Kemudian anda akan dirujuk kepada pejabat kebajikan masyarakat untuk membantu proses IPO anda.

Bantuan dari PejaBat KebajiKan Masyarakat; Secara alternatif, anda boleh ke pejabat kebajikan masyarakat dan meminta bantuan untuk mendapatkan IPO. Tunjukkan laporan polis anda jika ada. Pegawai Kebajikan Masyarakat akan membantu anda untuk mendapatkan IPO.

Mahkamah; Samada polis atau pegawai kebajikan masyarakat akan membantu anda untuk mendapatkan IPO di mahkamah. Anda boleh juga menggunakan khidmat peguam. Mahkamah mungkin menyoal anda mengenai keganasan. Mahkamah akan mengeluarkan perintah IPO jika mahkamah berpendapat anda memerlukan perlindungan.

Jika anda khuatir keganasan akan terus berlaku lagi keatas diri anda, anda boleh memohon supaya mahkamah mengeluarkan perintah tangkap. Ini bermakna polis boleh menangkap pesalah dengan serta merta jika perintah IPO dimungkiri.

Laporkan apa-apa kemungkiran IPO kepada polis ataupun kepada pegawai kebajikan masyarakat dengan segera. Pesalah akan dihukum kerana melanggar perintah IPO.




Apa yang akan terjadi seterusnya?

Sesuatu IPO hanya berkuatkuasa sehingga siasatan selesai. Sebaik sahaja siasatan tamat IPO akan luput. Jika pesalah didakwa, anda boleh memohon Perintah perlindungan (Protection Order – PO).

PO memberi lebih banyak lagi perlindungan ke atas diri anda jika dibandingkan dengan IPO sebab mahkamah boleh mengeluarkan perintah-perintah sampingan.

Umpamanya, PO memberi hak kepada anda untuk tinggal di rumah tanpa pesalah, mengarah pesalah supaya tidak mendekati rumah, tempat kerja atau sekolah, dan menghalang pesalah bercakap atau menulis surat kepada anda.

Mahkamah juga boleh memerintah pesalah membayar pampasan untuk gantirugi yang ditanggung oleh anda disebabkan keganasan rumah tangga. Mahkamah boleh memerintahkan anda atau pesalah mendapatkan khidmat kaunseling.





1 ulasan:

  1. Your Affiliate Profit Machine is waiting -

    Plus, getting it set up is as easy as 1--2--3!

    Here is how it works...

    STEP 1. Input into the system which affiliate products the system will promote
    STEP 2. Add PUSH BUTTON TRAFFIC (it takes JUST 2 minutes)
    STEP 3. Watch the affiliate products system explode your list and sell your affiliate products all by itself!

    Are you ready???

    Your MONEY MAKING affiliate solution is RIGHT HERE

    BalasPadam